KEJUTAN YANG MENJADI! … MAK, MEMANG HEBAT!

Nak cerita dan tulis cepat-cepat sementara ada masa. Zachary sedang nyenyak tidur. Baru balik berjalan-jalan dengan mamy dan papy nya. Itulah aktiviti mereka setiap hari. Berjalan, bawa Zach ke trampoline di taman permainan dan ke kolam renang di bawah kondo kami tinggal ini. Seronok lah anak teruna kecil tu. Ada orang melayan hehehe…

Bila balik ke dari semua aktiviti tu, memang dia ‘lembik!’ Apa lagi, terus ke katil! Merci mamy et papy! Memang kena buat macam tu dengan Zach. Kalau tak, susah nak tidur. Semenjak ada adik ni, Zach sedikitlah nak perhatian aku. Suka usik semua barang yang ada dalam bilik terutamanya barang-barang adiknya. Namun, aku nampak dia happy. Sering nak cium adiknya. Nak bagi susu, malah curi susu juga! Hahahah..

Ya! Dia bawa lari botol adiknya yang kecil tu! Langsung diminum susu yang masih ada di dalamnya. Berubah juga rupa bila dah rasa susu mamanya! Hahahaa.. Agaknya dia dah lupa bagaimana rasanya susu badan. Dah banyak bulan berhenti dan kini sedap dengan susu tepung dan juga Herbalife shake. Orang dah pandai menilai rasa lah pula kan… So, pandailah memilih..

IMG-20150117-WA0047

Zach yang berusia 16 bulan tanggal 3 Februari nanti, sudah tahu yang dia punyai adik. Dia tidaklah cemburu, cuma adakala nampak dia kehairanan yang aku tak lagi mendukungnya. Aduhai Zach, hanya tuhan yang tahu bagaimana mama juga sengsara tak dapat nak dukung dan peluk Zach. Dapat peluk dari atas bangku saja. Dah hampir sebulan tak dapat nak dukung Zach (semenjak dapat tahu aku ada placenta previa).

IMG_1724671682786

Nampak dia juga merana. Mahu dipeluk dan dia mahu berada di dalam dakapan aku ketika didukung. Aduh… Kesian anak teruna aku tu… Sabarlah Zach.. Sikit lagi… Sikit pun tak sikitlah kan.. Lagi 2 bulan agaknya! Biar benar sembuh bekas operasi di perut aku ini. Dalam dan luar.

Aku tak tahu bagaimana arwah mak aku menahan perasaannya untuk mendukung anaknya apabila dia melahirkan bayi yang lainnya. Dia bersalin 3 tahun berturut-turut. Selepas itu break selama beberapa tahun. Dan kemudiannya 3 lagi. Kami semua ada batch masing-masing!

Aku dan Syikin, adik di bawah aku, kami hanya 14 bulan bezanya. Dan Syikin dengan Hidayah hanya cukup setahun kalau tak silap aku. Arwah mak memang subur. Malah seluruh hidupnya hanya dipenuhi dengan kerjanya sebagai jururawat dan juga mengandung dan bersalin…

Arwah mak sangat kuat. Macam-macam juga dilaluinya sepanjang berpantang. Anak ramai, banyaklah ragamnya. Mak pernah juga pengsan semasa berpantang. Masa tu aku kecil lagi. Pengsan kerana tersadung kaki di penghadang pintu apabila dia turun ke bawah untuk ambil daun cenerai untuk dibuat alas tungkunya. Disuruh kakak yang sulung, (jangan terasa kak jan!) tapi dilewatkan. Agaknya tak mahu menunggu, dia pergi sendiri.

Panik juga satu rumah bila mak pengsan. Sudahlah masa tu, hampir Maghrib. Arwah mak sudah tentu mengampunkan segala kesalahan anak-anaknya. Aku pasti. Mak sangat lembut hati. Kesian Mak. Banyak pengorbanannya. Bila dah jadi ibu, semua wanita memang tak lari dari melakukan pengorbanan untuk keluarga dan anak-anaknya. Tak kiralah masa, tenaga atau apa saja. Itu pasti.

Tiba-tiba teringat cerita masa kecil dengan arwah Mak. Memang tak boleh lupa. Saban tahun aku dan kakak-kakak yang lain menerima ahli keluarga baru. Keluarga kami sangat besar. Aku memang menjalani pengalaman seperti mak ketika ini. Tapi, aku tak boleh rasanya nak bersalin 3 tahun berturut-turut! Pengsan! Hahaha.. Lagi pula selepas operasi. Biar mak saja yang juara!

Boleh baca di bahagian novel yang aku letakkan di dalam blog ini. Semua cerita ada di sana. Rindu pula pada arwah Mak. Al Fatihah mak.. Semoga Allah tempatkan wanita hebat yang bernama Salmah Ibrahim, di kalangan orang-orang yang beriman. Aku tahu, dia bahagia di sisi Allah S.W.T. Ada tempat terbaik buatnya. Aku tahu.. Dan itu yang sering aku doakan. Ammmmiinnnn…

Aku bernasib baik kerana ada ibu mertua yang juga baik menjaga dan sentiasa memastikan aku dapat rehat yang cukup serta segera sembuh. Walaupun berlainan budaya, namun Germaine cuba memahami apakah maksud berpantang selepas bersalin dan berapa lama durasinya. Katanya, jika wanita Eropah juga berbuat sedemikina, sudah pasti ramai yang akan lebih sihat secara dalamannya.

Katanya lagi, dia dulu tak sempat nak berpantang atau apa. Kerja, kerja, kerja. Hanya dua minggu berehat. Nak minta tolong ibu bapa menjaga semasa berehat selepas bersalin; jangan harap. Mereka tiada kesedaran untuk berpantang selepas bersalin. Jauh sekali punyai jamu seperti kita. Sungguhpun begitu, dia menjaga aku dan cuba belajar cara kita.

Ini kali kedua Roland dan Germaine menjaga aku ketika berpantang. Kali ini lebih mudah kerana mereka telah faham. Siap tanya aku bila Kak As (confinement lady) akan mulakan tugasnya untuk mengurut dan menjaga aku. Senang dah sekarang! Kalau dulu mereka hairan kenapa perlu berbuat sedemikian!

Kedua ibu bapa mertua aku tu tiba di KL tanggal 16 Januari yang lalu. Memang telah dirancang beberapa bulan sebelumnya untuk mereka datang ke sini pada tarikh tersebut. Sepatutnya mereka sampai sebelum aku bersalin. Tarikh awal jangkaan aku bersalin adalah di dalam bulan Februari. Kami jangkakan 14 Februari. Awal dua minggu dari tarikh asal. Tapi, memang kali ini terlebih awal. Bulan Januari dah keluar! Hahaha…

Masa aku masuk hospital kali pertama tanggal 31 Disember, memang kami merahsiakan dari pengetahuan mereka. Tak mahu mereka risau. Begitu juga yang kedua kali, tanggal 11 Januari yang lalu. Tak sangka pula 15 Januari dipilih doktor untuk aku bersalin. Sehingga petang Khamis aku bersalin tu, mereka masih tak tahu. Sengaja kami rahsiakan kerana benar mahu beri kejutan. Dah alang-alang mereka akan tiba keesokkannya. Biarkan saja mereka lihat sendiri.

Hari Jumaat tu, selepas Eric datang melawat aku paginya, dia dan Ina langsung ke KLIA untuk menjemput kedua orang tua itu.  Mereka tiba tepat jam 3 petang. Eric sedari awal dah rancang bagaimana dan apa yang akan diberitahu pada mereka apabila aku tak ada bersama Eric ketika menjemput mereka. Selalunya, aku ada sama. Tapi kali ini hanya Ina. Zach pun tak ada.

Kata Eric ketika dalam perjalanan dari KLIA ke rumah, dia elak dari bercakap tentang aku. Cerita lain diberitahunya. Pasal cuaca lah, pasal banjirlah dan macam-macam lagi! Hahhaa.. Ina pula, dalam kereta tu, dah update aku di mana mereka. Apabila dah dekat, baru Eric beritahu yang mereka harus singgah di hospital untuk ambil aku dan Zach kerana aku melawat sepasang kawan yang baru saja mendapat bayi. Dan Germaine dan Roland kenal akan pasangan yang bernama Amertat Cohn dan Julia Cohn itu. Itulah nama yang digunakan Eric pada mereka sebagai alasan untuk singgah di hospital.

Awalnya mereka tidak mahu naik ke hospital. Kata Eric tak baik, jangan buat macam tu. Bukannya tak kenal akan pasangan sponsor Eric di dalam Herbalife itu. Mereka tiada alasan untuk tidak naik ke atas bilik hospital itu. Bila dah tiba di tingkat wad bersalin, Germaine mencari tandas dan tidak mahu masuk. Kata Ina, gunakan yang di dalam bilik. Lebih mudah. Ina dah lengkap dengan kamera nya untuk merakamkan aksi mereka berdua.

Eric tegas menjemput masuk ibu bapanya. Apabila mereka menjengah ke dalam bilik, alangkah terkejutnya apabila mendapati, bukannya Julia Cohn yang berada di atas katil. Sebaliknya Nurul Wahab Depp yang sedang memegang bayi kecil dipangkuannya! Apa lagi, tercengang, terkejut dan tak terkata apa apabila mereka terlihat sesuatu yang tidak dijangka.

Bagaikan satu drama tv! Hahahha… Semuanya menangis! Eric jangan cerita lah.. Dia sebenarnya Raja Air Mata! Hahhaa.. Aku pun menangis tapi tak aku lepaskan kerana malu sebab Ina sedang merakamkan momen itu! Apalah aku ni… Nangis je lah! Apa nak simpan! Hahahaa

IMG-20150117-WA0002

IMG_504007241515

Ditanya mereka, apa yang berlaku… Pelbagai soalan berlegar di fikiran kedua orang tua itu. Kesian pula aku tengok. Kejutan kali ini memang menjadi! Hahaha.. Kalau awal dulu nak rahsiakan kehamilan Baby R ni, tidak menjadi; tetapi tidak pula dengan berita kelahirannya! Yes.. Berjaya! Hahahha… Kalau nak tahu, keluarga Depp ni memang suka buat kejutan!

Kata Roland kejutan kali ini memang menjadi! Satu kejutan yang sangat baik. Dan Germaine segera memanjatkan syukur yang segalanya selamat walaupun dia sedikit risau dengan kelahiran Baby R pada minggu ke 34. Dia juga bersetuju dengan aku yang Raphael mengikut jejak langkah bapanya yang juga lahir di dalam minggu yang sama. Anak bapak betul!

Ada video yang sempat kami rakamkan di Youtube. Esok Ina Mohd akan letakkan. Maaf jika ada bahagian yang sedikit tak elok dilihat mata. Ketika itu aku sedang menyusukan Raphael. Terlupa nak cover bahagian dada oleh kerana terlalu excited nak buat kejutan. Maafkan aku.

Aku tahu ramai yang akan marah. Tapi tengoklah dulu video nya. Aku pun tak tengok lagi ..hehehe.. Aku pasti Ina tahu angle yang bagaimana harus diambilnya. Kami semua memang tak perasan… Aku pun tak make up dan berbulu mata masa tu hehehee.. Hanya rakaman video biasa..

Terima kasih Germaine dan Roland kerana sentiasa ada untuk aku dan Eric. Aku bertuah punyai mertua yang bisa memberi kasih sayang yang sama seperti kedua arwah ibu bapa ku. Aku pasti Arwah mak dan abah gembira jika mereka tahu bagaimana aku dilayan dan dijaga baik oleh suami dan juga keluarga mertua.

Tenanglah wahai ibu bapa ku di sana.. Al Fatihah…

P/S : Patutlah mimpi arwah mak dua tiga hari sebelum aku dimasukkan ke hospital buat kali kedua… Agaknya dia datang melawat dan sudah tahu yang cucunya akan dilahirkan ke dunia… Waallahhualam…

11 thoughts on “KEJUTAN YANG MENJADI! … MAK, MEMANG HEBAT!

  1. Norazida binti Md Desa

    Congratssss uda….tumpang bahagia bila tengok kawan2 bahagia…Alhamdulillah…xtau la hg ingat lg ke dak kat aku…kawan yg dok teman hg mngorat..sapa nama dia??..nazri kan??? hahaha…kita baru tgkatn 1 ms tu…nakal btol..hahaha…kenangan yg mmbuatkn aku akn trsenyum sampai skrang..

  2. Niza

    yg tak terlibat pun boleh ayaq mata kluaq bila tgk video semlm..hari ni baca pun ayaq mata kluaq..hahaha.
    have a good rest nurul. ❤

Leave a comment